Selasa, 3 Mei 2011

Majlis Perundingan Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong Melawat SRTLDB

3hb Mei 2011, hari Selasa – Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah menerima lawatan daripada Majlis Perundingan Kampong Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong (MPK), Mukim Serasa Muara pada 23 April 2011, hari Sabtu. Rombongan dari MPK ini diketuai oleh Ketua Kampung, Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman.

Ketibaan rombongan ini dialu-alukan oleh guru-guru kanan dan guru-guru SRTLDB yang lain. Pukulan hadrah menyerikan lagi ketibaan mereka. Mula-mula, rombongan ini dibawa melawat bilik-bilik darjah bermula dari kelas Rendah Bawah hingga ke kelas Tahun 6. Rombongan juga dibawa melawat kemudahan-kemudahan sekolah yang lain seperti surau, kantin dan bilik komputer. Tidak ketinggalan dilawat oleh rombongan ini ialah bilik guru dan bilik pentadbiran.

Seterusnya, rombongan ini dibawa masuk ke dalam dewan untuk acara taklimat. Selesai taklimat, rombongan ini berpeluang menyaksikan persembahan hadrah dan koir oleh murid-murid SRTLDB. Acara lawatan ini diakhiri dengan sesi bergambar ramai di tempat perhimpunan tertutup.

Lawatan ini bertujuan untuk membuat tinjauan tentang pengendalian sekolah serta kegiatan-kegiatan yang diadakan di sekolah ini.


















(Teks: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Gambarfoto: Khairul bin Janif)