Khamis, 21 April 2011

Program Bimbingan dan Kaunselling bagi Anak-Anak Anggota Tentera (BAKAT)

21 April 2011, hari Khamis -- Murid-murid Tahun 6 (Tahun 6A dan Tahun 6B) Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah mengikuti Program Bimbingan dan Kaunselling bagi Anak-Anak Anggota Tentera (BAKAT) pada pagi tadi di Dewan SRTLDB.

Program  yang dianjurkan oleh Pusat Kaunselling Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PK ABDB), Jabatan Arah Keanggotaan, Kementerian Pertahanan ini adalah khusus diadakan bagi sekolah-sekolah yang berada di dalam Perkhemahan ABDB dan disasarkan kepada murid-murid yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pada tahun ini.

Program BAKAT ini terdiri daripada 2 komponen utama iaitu Teknik Belajar Berkesan dan Strategi Menghadapi Peperiksaan. Kedua-duanya disampaikan dalam bentuk ceramah, bimbingan, motivasi, dan latihan secara individu dan berkumpulan. Di samping itu, para pelajar akan didedahkan kepada 9 proses belajar berkesan, iaitu: menetapkan matlamat, pengurusan masa, tindakan yang konsisten, teknik membaca, teknik membuat nota, teknik menghafal, teknik menjawab soalan, persediaan sebelum menghadapi peperiksaan dan menduduki peperiksaan.

Program pada pagi tadi diketuai oleh Major Rusli bin Bujang, Pemangku Ketua Pegawai PK ABDB dan dibantu oleh dua orang anggota ABDB di PK ABDB.



(Teks dan Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)