Ahad, 20 Mac 2011

Lawatan Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei ke SRTLDB

18 Mac 2011, hari Jumaat -- Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei(TLDB), Kolonel (L) Haji Abdul Halim bin Haji Mohammad Hanifah telah mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB) pada pagi 17 Mac 2011, hari Khamis.

Lawatan ini bertujuan untuk melihat status terkini kemudahan yang telah disediakan dan juga untuk menimbangkan kemudahan yang bakal disediakan pada tahun kewangan 2011/2012. Antara tempat yang dilawati oleh beliau ialah tandas, perpustakaan, surau, taman permainan, dan bilik sains.

Selepas melawat, Kolonel (L) Haji Abdul Halim membuat perjumpaan dengan sebahagian daripada guru-guru SRTLDB dan juga sebahagian daripada guru-guru Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei (SUTLDB). Beliau mengharapkan sekolah ini akan dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik, khususnya dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR). Di samping itu, beliau berharap pihak sekolah akan dapat memahami latar belakang murid-murid yang belajar di sekolah dan realiti yang ada. Beliau juga menambah, pendidikan ugama murid-murid sekolah ini hendaklah diperteguhkan.

Bercakap tentang kemudahan yang bakal diberikan, beliau menekankan pemberian kemudahan ini adalah bergantung kepada kepentingan ('priority'). Bakal kemudahan itu juga hendaklah dapat digunakan secara berterusan.Terdapat dua projek besar yang bakal dipertimbangkan iaitu bilik khas Sains dan pembesaran surau.

Dalam majlis ini, Guru Besar SRTLDB dan SUTLDB juga menyampaikan perkembangan terkini sekolah dan permasalahan yang timbul.












Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei adalah di bawah tanggungjawab dua buah kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan (melalui TLDB). Bangunan sekolah ini dan kemudahan-kemudahan yang ada di dalamnya seperti almari, kerusi meja, alat penyaman udara, dan klinik gigi adalah disediakan oleh pihak TLDB. Segala kemudahan sekolah ini diselenggara dan dipulihara oleh pihak TLDB. Di samping itu, pihak TLDB juga menyediakan staf sokongan iaitu tukang masak, pembersih, tukang kebun, pembantu perpustakaan, jururawat pergigian, dan penjaga keselamatan sekolah.

Pihak Kementerian Pendidikan (dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi SUTLDB) hanya menyediakan guru-guru, peralatan mengajar, buku-buku teks, buku-buku perpustakaan, peralatan komputer, dan skim permakanan sekolah. Apa-apa permintaan untuk mendapat kemudahan seperti bangunan dan perabot perlu dirundingkan bersama pihak TLDB.

Hampir semua murid-murid yang belajar di SRTLDB adalah anak-anak anggota TLDB dan juga unit-unit ABDB yang berpengkalan di Muara. Murid-murid yang lain adalah anak-anak staf sokongan dan guru-guru sekolah ini.

(Teks & Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)

Jumaat, 18 Mac 2011

Cuti Sekolah Penggal 1 Tahun 2011

18 Mac 2011, hari Jumaat--Cuti persekolahan Penggal 1 bagi Sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam bermula pada hari ini iaitu 18 Mac 2011, hari Jumaat hingga 27 Mac 2011, hari Ahad. Sekolah akan dibuka semula pada 28 Mac 2011, hari Isnin.

Sehubungan dengan ini, pihak sekolah mengucapkan "Selamat Bercuti" kepada semua murid dan guru, khasnya kepada murid-murid dan guru-guru sekolah ini.
(Grafik: Abdul Rashid bin Haji Tahir)

Khamis, 17 Mac 2011

Guru-Guru Melawat Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer

17hb Mac 2011, hari Khamis -- Guru-guru Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB) telah mengadakan lawatan ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer pada petang tadi. Lawatan ini adalah satu kegiatan perkembangan staf  yang bertujuan mendedahkan para guru kepada tempat-tempat menarik di Negara Brunei Darussalam.





(Teks dan Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)

Rabu, 16 Mac 2011

Pertandingan Koir Antara Kelas-Kelas sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-27

16hb Mac 2011, hari Rabu – Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB) telah mengadakan Pertandingan Koir Antara Kelas-kelas sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-27.

Pada hari ini diadakan pertandingan bagi kelas-kelas Rendah Bawah. Pertandingan bagi kelas-kelas Rendah Atas telah diadakan pada minggu lepas iaitu pada 9 Mac 2011, hari Rabu.

Guru Besar SRTLDB, Cikgu Hajah Rusunah binti Haji Paka telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Keputusan Pertandingan Koir Antara Kelas-Kelas Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-27




(Teks & Grafik: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Gambarfoto: Khairul bin Janif)

Selasa, 15 Mac 2011

Ceramah Motivasi untuk Ibu Bapa dan Penjaga Murid serta Guru

14hb Mac 2011, hari Isnin -- Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara  telah mengadakan Ceramah Motivasi untuk ibu bapa dan penjaga murid-murid sekolah  ini di Dewan SRTLDB. Ceramah ini disampaikan oleh Cikgu Awang Ali Yusri bin Abdul Ghafor, Pegawai Pelajaran Kanan dari Bahagian Kaunselling dan Kerjaya, Kementerian Pendidikan.

Sebelum ceramah itu diadakan, Cikgu Hajah Rusunah binti Haji Paka, Guru BesarSRTLDB telah menyampaikan taklimat tentang perkembangan terkini sekolah khususnya mengenai projek peningkatan kemahiran numerasi yang mula dilaksanakan oleh pihak sekolah sejak beberapa minggu yang lalu. Harapan pihak sekolah ialah pihak ibu bapa dan penjaga murid sekolah ini akan dapat membantu usaha-usaha ini.

Pada sebelah petang pula, Cikgu Ali Yusri menyampaikan Ceramah Motivasi kepada guru-guru sekolah ini. Ceramah ini diadakan di Bilik Taklimat SRTLDB.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kehadiran ibu bapa dan penjaga murid sekolah ini  pada ceramah motivasi ini. Kerjasama seumpama ini sangat-sangat pihak sekolah hargai. Terima kasih juga diucapkan kepada Cikgu Awang Ali Yusri di atas ceramah yang disampaikan.













(Teks: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Gambarfoto: Khairul bin Janif)

Isnin, 7 Mac 2011

Melawat Pesta Buku Brunei Tahun 2011

7hb Mac 2011, hari Isnin -- Murid-murid Tahun 4 dan Tahun 5 Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB) telah melawat Pesta Buku Brunei Tahun 2011 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 5hb Mac 2011, hari Sabtu. Mereka ditemani oleh guru-guru kelas dan guru khas Bahasa Melayu bagi kelas-kelas ini serta guru Perkhidmatan Bimbingan Sekolah.

Sebelum ini, murid-murid Tahun 3 dan Tahun 6 juga telah melawat pesta buku ini pada 3hb Mac 2011, hari Khamis.

Salah sebuah bas yang digunakan untuk melawat. Bas ini disediakan oleh pihak Tentera Laut Diraja Brunei.
Murid-murid menaiki bas sambil diawasi oleh para guru.
Murid-murid dan guru-guru tiba di  Pusat Persidangan Antarabangsa.
Guru-guru memberikan peringatan kepada murid-murid.
Murid-murid dan guru-guru menuju ke tempat pameran.
Tanda arah
Salah satu tarikan  yang ada pada Pesta Buku Brunei 2011 ialah 'Bilik Hantu'.
Murid-murid melintasi pameran Sains yang diadakan pada Pesta Buku Brunei 2011.
Memilih buku yang hendak dibeli.
Guru-guru dan murid-murid berehat untuk makan dan minum.
Guru sedang berehat untuk minum.
Tiba masa untuk pulang.
Semua murid-murid telah naik ke dalam bas masing-masing.
(Teks dan gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)

Khamis, 3 Mac 2011

Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-27

Selamat Menyambut
Ulang Tahun Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam Ke-27
23 Februari 2011, hari Rabu
"Negaraku Brunei Darussalam"

 3 Mac 2011, hari Khamis -- Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-27 pada 2 Mac 2011, hari Rabu di Dewan SRTLDB.

Dalam majlis sambutan ini diadakan taklimat ringkas mengenai Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Cikgu Noor Amiza binti Haji Musa.  Selepas itu diadakan kuiz yang berkaitan dengan taklimat ini. Kuiz ini terbuka kepada semua murid dari peringkat Pra Sekolah, Rendah Bawah, dan Rendah Atas. Setiap peringkat menjawab satu soalan kuiz.

Seterusnya Guru Besar SRTLDB, Cikgu Hajah Rusunah binti Haji Paka, menyampaikan hadiah bagi peraduan kuiz yang diadakan pada hari ini dan aktviti yang dibuat di kelas masing-masing sebelum ini. Aktiviti sempena sambutan Hari Kebangsaan itu adalah seperti aktiviti kolaj bendera Brunei dan menulis dengan cantik lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'.

Acara pada pagi itu diakhiri dengan persembahan koir dari murid-murid Tahun 4.







(Teks: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir & Khairul bin Janif)