Sabtu, 23 April 2011

SRTLDB Berjaya Masuk ke Peringkat Separuh Akhir dalam Kejohanan Bola Jaring Piala JAPSER Brunei IIB

23hb April 2011, hari Sabtu -- Pasukan bola jaring Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara berjaya masuk ke peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Piala Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Rendah Zon Brunei IIB (JAPSER Brunei IIB), setelah berjaya memenangi hampir semua perlawanan dalam Kumpulan A. Perlawanan-perlawanan ini telah diadakan di Dewan Gerak Badan (Gym), Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam pada pagi dan petang 22hb April 2011, hari Jumaat.

Pemain-pemain pasukan bola jaring yang menyertai kejohanan ini terdiri dari guru-guru, staf sokongan dan ibu-ibu atau penjaga murid SRTLDB.

Berikut ini adalah keputusan perlawanan yang melibatkan pasukan bola jaring SRTLDB pada peringkat awal:

Perlawanan Pertama
SR Serasa (1) vs SRTLDB Muara (8)

Perlawanan Kedua
SRTLDB Muara (6) vs SR Tanjung Kindana (1)

Perlawanan Ketiga
SRTLDB Muara (10) vs SRSAB Sungai Besar (1)

Perlawanan Keempat
SRTLDB Muara (6) vs SR Batu Marang (1)

Perlawanan Kelima
SR Delima Satu (1) vs SRTLDB Muara (13)

Perlawanan Keenam
SR Mentiri (5) vs SRTLDB Muara (4)

Perlawanan separuh akhir dan akhir kejohanan ini akan diadakan pada 7hb Mei 2011, hari Sabtu bermula pukul 2.00 petang di Dewan Gerak Badan (Gym), Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam.





















(Teks & Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)

Khamis, 21 April 2011

Program Bimbingan dan Kaunselling bagi Anak-Anak Anggota Tentera (BAKAT)

21 April 2011, hari Khamis -- Murid-murid Tahun 6 (Tahun 6A dan Tahun 6B) Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah mengikuti Program Bimbingan dan Kaunselling bagi Anak-Anak Anggota Tentera (BAKAT) pada pagi tadi di Dewan SRTLDB.

Program  yang dianjurkan oleh Pusat Kaunselling Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PK ABDB), Jabatan Arah Keanggotaan, Kementerian Pertahanan ini adalah khusus diadakan bagi sekolah-sekolah yang berada di dalam Perkhemahan ABDB dan disasarkan kepada murid-murid yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pada tahun ini.

Program BAKAT ini terdiri daripada 2 komponen utama iaitu Teknik Belajar Berkesan dan Strategi Menghadapi Peperiksaan. Kedua-duanya disampaikan dalam bentuk ceramah, bimbingan, motivasi, dan latihan secara individu dan berkumpulan. Di samping itu, para pelajar akan didedahkan kepada 9 proses belajar berkesan, iaitu: menetapkan matlamat, pengurusan masa, tindakan yang konsisten, teknik membaca, teknik membuat nota, teknik menghafal, teknik menjawab soalan, persediaan sebelum menghadapi peperiksaan dan menduduki peperiksaan.

Program pada pagi tadi diketuai oleh Major Rusli bin Bujang, Pemangku Ketua Pegawai PK ABDB dan dibantu oleh dua orang anggota ABDB di PK ABDB.



(Teks dan Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)

SRTLDB Naib Juara Kejohanan Bola Jaring Sekolah-Sekolah Rendah Brunei IIB Bagi Tahun 2011

21 April 2011, hari Khamis -- Pasukan bola jaring Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara hanya mampu menjadi Naib Juara dalam Kejohanan Bola Jaring Sekolah-Sekolah Rendah Brunei IIB bagi Tahun 2011. Mereka telah ditewaskan oleh pasukan bola jaring Sekolah Rendah Serasa dengan jaringan 4 berbalas 14, dalam perlawanan akhir kejohanan bola jaring ini yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah, Berakas pada petang hari Isnin, 18 April 2011.

Kejohanan  ini dianjurkan oleh Bahagian Sukan dan Permainan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian.  Sekolah Rendah Mentiri pula telah terpilih menjadi tuan rumah dan seterusnya menjadi pengendali kejohanan bola jaring pada tahun ini.

Berikut ini keputusan perlawanan yang melibatkan pasukan bola jaring SRTLDB sepanjang kejohanan pada tahun ini:

Pusingan Pertama
SRTLDB Muara (17) vs SR Tanah Jambu (0)

Pusingan Suku Akhir
SRTLDB Muara (8) vs SR Mentiri (4)

Pusingan Separuh Akhir
SRTLDB Muara (11) vs SR DMY Perumahan Mentiri (3)

Pusingan Akhir
SRTLDB Muara (4) vs SR Serasa (14)

Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada semua pemain pasukan bola jaring SRTLDB, pengurus, guru pengawas, jurulatih, dan para penyokong kerana pasukan ini berjaya masuk ke peringkat akhir dalam kejohanan pada tahun ini. Tahniah!



(Teks: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Gambarfoto: Azizah binti Kasbani)

Rabu, 20 April 2011

Ceramah Motivasi Perancangan Kewangan Peribadi

20hb April 2011, hari Rabu -- Bahagian Perkembangan Staf (BPS) Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah menganjurkan 'Ceramah Motivasi Perancangan Kewangan Peribadi' untuk para guru dan staf sokongan sekolah ini yang diadakan pada petang tadi di Bilik Taklimat sekolah ini. Untuk tujuan ini, BPS telah menjemput Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hadir ke sekolah ini.

Rombongan seramai 5 orang dari BIBD yang hadir pada petang tadi diketuai oleh Nurul Jafriah binti Abdullah, Pengurus 'Wealth Management Unit', Bahagian Perbankan Institusi, BIBD (Alamat: #9, Bangunan Suria Kiulap, Kiulap, Bandar Seri Begawan BE1518). Ceramah pula disampaikan oleh Zalia binti Zaini, seorang antara pegawai daripada unit berkenaan. Antara isi kandungan ceramah beliau ialah tujuan perancangan kewangan, tujuan berbelanja, pembahagian hasil pendapatan, bentuk-bentuk perancangan kewangan yang perlu diambil perhatian seperti simpanan, perlindungan, hutang, persaraan, dan wasiat, serta kepentingan membuat pertimbangan antara 'kemahuan' dengan 'keperluan'. Setelah ceramah ini berakhir, para guru dan staf sokongan sekolah ini berpeluang mengemukakan beberapa soalan yang berkaitan.

Ceramah motivasi perancangan kewangan peribadi BIBD ini adalah program yang kedua dalam siri taklimat atau ceramah pengurusan kewangan peribadi yang dianjurkan oleh BPS sekolah ini. Program yang pertama ialah Taklimat Tabung Amanah Pekerja dan Skim Pencen Caruman Tambahan, yang diadakan dengan kerjasama pihak Tabung Amanah Pekerja, pada 13 Januari 2011, hari Khamis.

Ceramah motivasi perancangan kewangan pada kali ini diharapkan akan dapat menambah pengetahuan para guru dan staf sokonagn sekolah ini mengenai perancangan kewangan peribadi dan memberikan peluang kepada mereka untuk bertanya mengenai soalan-soalan yang berkaitan. Ceramah ini juga diharapkan akan dapat menimbulkan idea dan motivasi ke arah perancangan dan pengurusan kewangan peribadi yang lebih baik dan berhemah.

Pada akhir majlis ini, Guru Besar SRTLDB, Cikgu Hajah Rusunah binti Haji Paka menyampaikan cenderamata kepada penceramah, Zalia binti Zaini, bagi pihak BIBD.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian pihak BIBD untuk menyampaikan ceramah yang diadakan pada petang tadi.










Aturcara Majlis
'Screen capture' dokumen MS Word mengenai aturcara majlis 'Ceramah Motivasi Perancangan Kewangan' yang diadakan pada petang tadi.
(Teks dan Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)

Melawat Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Brunei

19hb April 2011, hari Selasa--Murid-murid Tahun 5 Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah berpeluang melawat Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Brunei yang terletak di Kota Batu pada pagi tadi. Turut serta dalam lawatan ini ialah guru kelas masing, guru khas Bahasa Melayu dan guru bimbingan sekolah.













(Teks & Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)

Sabtu, 16 April 2011

Taklimat Alat Pemadam Kebakaran Bimbit

16hb April 2011, hari Sabtu--Guru-guru dan staf sokongan Sekolah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah berpeluang mendengar taklimat yang dianjurkan oleh M-Trading Company. Taklimat yang diadakan pada petang ini di Bilik Taklimat SRTLDB ini disampaikan oleh Hassan bin Amran, Pengarah M-Trading Company. Selepas taklimat ini para guru dan staf sokongan sekolah ini berpeluang mendapatkan alat pemadam api bimbit PFE-1 pada harga promosi. Keterangan lanjut mengenai produk ini boleh didapati pada laman web pengeluar produk ini: http://www.xajr.com (Shaanxi J & R Fire Fighting Co. Ltd), di samping melalui pengedar produk ini di Brunei Darussalam.










(Teks dan Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)