Isnin, 28 November 2011

Majlis Penyampaian Hadiah Murid Cemerlang Tahun 2011

28hb November 2011, hari Isnin –Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Murid Cemerlang Tahun 2011 pada 26hb November 2011, hari Sabtu di Dewan SRTLDB.


Acara pada pagi itu dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa yang diketuai oleh Ustaz Khairul bin Janif dan disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Cikgu Hajah Juzailah Wati binti Haji Johari, Penolong Guru Besar SRTLDB.

Cikgu Hajah Juzailah Wati menyampaikan hadiah dan sijil kepada Murid-Murid Tahun 6 yang telah lulus dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah PSR pada tahun ini (2011). Pada tahun ini, seramai 4 orang murid telah berjaya mendapat keputusan 5A. Kemudian diadakan penyampaian hadiah dan sijil bagi murid cemerlang bermula dari Tahun 5 hingga ke Prasekolah.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada prefek-prefek SRTLDB bagi tahun 2011 sebagai tanda penghargaan atas tugas-tugas dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh mereka dengan jujur dan tekun. Bagi tujuan ini, Cikgu Norasiah binti Haji Mohammad menyampaikan sijil kepada Mohammad Hadi Hafizul (wakil bagi prefek lelaki) dan Nur Izzati Karmila (wakil bagi prefek perempuan).

Pada tahun ini SRTLDB telah mengadakan pelbagai projek khas. Satu antara projek tersebut ialah Projek Banyak Membaca Buku Perpustakaan. Objektif projek ini diadakan adalah untuk menggalakkan murid-murid untuk minat membaca buku-buku dari perpustakaan sekolah. Seramai 10 orang murid telah terpilih untuk mendapatkan hadiah 10 orang teratas paling banyak membaca buku-buku perpustakaan pada tahun ini.

Sempena dengan majlis ini juga, SRTLDB telah menganjurkan pertandingan “SRTLDB Got Talent”. Dalam pertandingan ini, murid-murid berpeluang menunjukkan bakat masing-masing seperti tarian dan nyanyian. Sebanyak 7 kumpulan telah ikut serta. Peringkat saringan telah diadakan pada 23hb November 2011, hari Rabu. Hanya 5 kumpulan sahaja terpilih untuk memasuki peringkat akhir, iaitu: Chibi, Wali Gang, 2 NE 1, 3 Suara, dan Fabulous Navy Princesses.

Fabulous Navy Princesses yang mempersembahkan tarian telah berjaya menduduki tempat pertama. Wali Gang pula menduduki tempat kedua. Kumpulan ini mempersembahkan lagu ‘Aku Bukan Abang Toyyib’. Tempat ketiga disandang oleh kumpulan 2 NE 1. Kumpulan Chibi dan 3 Suara menerima hadiah sagu hati masing-masing. Hadiah disampaikan oleh Penolong Guru Besar SRTLDB.

Sebelum penyampaian hadiah bagi para peserta ‘SRTLDB Got Talent’, Penolong Guru Besar SRTLDB telah menyampaikan hadiah dan sijil kepada kumpulan hadrah SRTLDB kerana kumpulan ini telah menjadi johan Pertandingan Hadrah Sekolah-Sekolah Rendah Senegara Kali Ke-35 pada tahun 2011.

Penolong Guru Besar SRTLDB sedang menyampaikan hadiah kepada murid-murid cemerlang Tahun 2012.

Penolong Guru Besar SRTLDB, Cikgu Hajah Juzailah Wati binti Haji Johari.

Sijil Penghargaan kepada prefek-prefek tahun 2011.

Penolong Guru Besar SRTLDB sedang menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang mewakili SRTLDB dalam Pertandingan Hadrah Sekolah-Sekolah Rendah Senegara Ke-35 Tahun 2011. Pasukan SRTLDB telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan ini.

Pemenang Kedua Peraduan "SRTLDB Got Talent"

(Teks dan Grafik: Abdul Rashid bin Haji Tahir. Gambarfoto: Khairul Azmi bin Rosli & Khairul bin Janif))