Rabu, 20 April 2011

Ceramah Motivasi Perancangan Kewangan Peribadi

20hb April 2011, hari Rabu -- Bahagian Perkembangan Staf (BPS) Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara telah menganjurkan 'Ceramah Motivasi Perancangan Kewangan Peribadi' untuk para guru dan staf sokongan sekolah ini yang diadakan pada petang tadi di Bilik Taklimat sekolah ini. Untuk tujuan ini, BPS telah menjemput Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hadir ke sekolah ini.

Rombongan seramai 5 orang dari BIBD yang hadir pada petang tadi diketuai oleh Nurul Jafriah binti Abdullah, Pengurus 'Wealth Management Unit', Bahagian Perbankan Institusi, BIBD (Alamat: #9, Bangunan Suria Kiulap, Kiulap, Bandar Seri Begawan BE1518). Ceramah pula disampaikan oleh Zalia binti Zaini, seorang antara pegawai daripada unit berkenaan. Antara isi kandungan ceramah beliau ialah tujuan perancangan kewangan, tujuan berbelanja, pembahagian hasil pendapatan, bentuk-bentuk perancangan kewangan yang perlu diambil perhatian seperti simpanan, perlindungan, hutang, persaraan, dan wasiat, serta kepentingan membuat pertimbangan antara 'kemahuan' dengan 'keperluan'. Setelah ceramah ini berakhir, para guru dan staf sokongan sekolah ini berpeluang mengemukakan beberapa soalan yang berkaitan.

Ceramah motivasi perancangan kewangan peribadi BIBD ini adalah program yang kedua dalam siri taklimat atau ceramah pengurusan kewangan peribadi yang dianjurkan oleh BPS sekolah ini. Program yang pertama ialah Taklimat Tabung Amanah Pekerja dan Skim Pencen Caruman Tambahan, yang diadakan dengan kerjasama pihak Tabung Amanah Pekerja, pada 13 Januari 2011, hari Khamis.

Ceramah motivasi perancangan kewangan pada kali ini diharapkan akan dapat menambah pengetahuan para guru dan staf sokonagn sekolah ini mengenai perancangan kewangan peribadi dan memberikan peluang kepada mereka untuk bertanya mengenai soalan-soalan yang berkaitan. Ceramah ini juga diharapkan akan dapat menimbulkan idea dan motivasi ke arah perancangan dan pengurusan kewangan peribadi yang lebih baik dan berhemah.

Pada akhir majlis ini, Guru Besar SRTLDB, Cikgu Hajah Rusunah binti Haji Paka menyampaikan cenderamata kepada penceramah, Zalia binti Zaini, bagi pihak BIBD.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian pihak BIBD untuk menyampaikan ceramah yang diadakan pada petang tadi.










Aturcara Majlis
'Screen capture' dokumen MS Word mengenai aturcara majlis 'Ceramah Motivasi Perancangan Kewangan' yang diadakan pada petang tadi.
(Teks dan Gambarfoto: Abdul Rashid bin Haji Tahir)