Selasa, 24 Mei 2011

Pameran Muzium 2011 Anjuran Bersama SRTLDB dan Jabatan Muzium-Muzium Brunei

24hb Mei 2011, hari Selasa -- Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei (SRTLDB), Muara dan Jabatan Muzium-Muzium Brunei sedang mengadakan Pameran Muzium 2011 pada 24 (Selasa), 25 (Rabu), 26 (Khamis) dan  28 Mei 2011 (Sabtu) dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di SRTLDB.

Pelancaran rasmi telah diadakan pada pagi tadi yang disempurnakan oleh Cikgu Haji Suhaili bin Haji Jaafar, Pemangku Pegawai Pelajaran Kanan Daerah (PPKD), Zon Brunei II(B). Selepas acara pelancaran rasmi, Tetamu Kehormat dan para jemputan lain melawat pameran yang diadakan di dewan sekolah, bilik pra (bilik tayangan), dan tempat perkumpulan tertutup.

Pameran Muzium  2011 adalah salah satu aktiviti yang diadakan bersempena Kempen Kenali dan Cintai Negaraku Brunei Darussalam, Projek Kumpulan Tunas Mekar bagi Tahun 2011 yang bertema 'Negaraku Kebanggaanku'. Pelbagai aktiviti telah dan akan diadakan dalam waktu projek ini dijalankan . Setakat ini, antaranya, SRTLDB telah mengadakan siri lawatan ke Muzium Brunei, Muzium Teknologi Melayu dan Bubungan Dua Belas serta Galeri Pelancongan dan Kebudayaan Kampong Ayer bagi mendedahkan murid-murid dan juga guru-guru kepada sejarah dan warisan negara. Ia juga diharapkan para murid dan para guru akan lebih mengenali dan seterusnya bertambah cinta mereka terhadap negara sendiri, Negara Brunei Darussalam.

Di samping pameran, pelbagai aktiviti juga diadakan dan dikendalikan oleh pihak Jabatan Muzium-Muzium Brunei. Antaranya ialah taklimat ilmu kejadian, tayangan filem (Kampong Ayer), taklimat arkeologi, bengkel permainan tradisi, taklimat arkib, taklimat maritim, dan demonstrasi membuat kikik.

Pihak SRTLDB juga menjemput sekoleh-sekolah rendah dan menengah di Zon Brunei II(B) (termasuk sekolah swasta) untuk datang dan melawat serta menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan. 

Pada setiap hari pameran ini, jualan buku (oleh Pustaka Remaja) serta makanan dan minuman  (oleh Pizza Tasconi, kantin sekolah, dan peniaga jemputan) juga diadakan.

'Screenshot' poster Pameran Muzium 2011
'Screenshot' poster Pelancaran Rasmi Pameran Muzium 2011.
(Teks dan Grafik: Abdul Rashid bin Haji Tahir)